perjalananku.......

Tuesday, March 27, 2012

RUKUNEGARA


Rukunnegara adalah ikrar pegangan negara yang dijadikan panduan dalam usaha membina negara dan bangsa Malaysia. Ia telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong ke-empat.

Ikrar Rukunegara adalah seperti berikut:

Bahawasanya, negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
  • mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya,
  • memelihara satu cara hidup demokratik,
  • mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama,
  • menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak,
  • membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Maka kami, rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
  • Kepercayaan kepada Tuhan,
  • Kesetiaan kepada raja dan negara,
  • Keluhuran perlembagaan,
  • Kedaulatan undang-undang,
  • Kesopanan dan kesusilaan.

Thursday, March 22, 2012

JATA NEGARA


Lambang Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris itu tanda Negeri-negeri Melayu yang Tiada Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu)

Bahagian sebelah kiri perisai itu menandakan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka itu Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu.

Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang, merah dan kuning warna Selangor, hitam, putih dan kuning warna negeri Perak, merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Tiga Bahagian di sebelah bawah itu menandakan Negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan.

Di tengah-tengahnya ialah Bunya Raya - Bunga Kebangsaan.

Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja
.

Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat, bendera hanya dikibarkan pada tempoh dan waktu yang tertentu sahaja untuk memupuk semangat kenegaraan supaya rakyat Malaysia berasa megah dan menghormati bendera mereka.

Monday, March 19, 2012

JALUR GEMILANG

Maksud Lambang dan Warna pada Bendera Malaysia

Setiap lambang dan warna yang terdapat pada bendera Malaysia mewakili maksud-maksud tertentu. Bahagian yang berwarna biru tua di sebelah kiri melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bersatu padu serta berusaha dalam memajukan ekonomi berasaskan sains dan teknologi.

Warna kuning pada lambang anak bulan dan bintang pecah 14 bermaksud kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.

Lambang anak bulan membawa maksud Islam sebagai agama rasmi negara sementara bintang pecah 14 menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Merah melambangkan keberanian dan bersedia dalam menghadapi segala rintangan dan caraban dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Manakala putih, melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan bagi mempertingkatkan ketahanan rakyat yang beradab berkebudayaan dan berkeperibadian Malaysia.

Ukuran bendera masih dikekalkan iaitu 6 kaki lebar dan 3 kaki panjang mempunyai 14 jalur bagi melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan 1 Persekutuan iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah , Sarawak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Sunday, March 11, 2012

TEMA

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan memberi penekanan terhadap penguasaan pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik supaya murid menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Kandungan ini disampaikan menerusi enam tema seperti berikut:

1. Sayangi Diri
2. Sayangi Keluarga
3. Hidup Bersama di Sekolah dan Masyarakat
4. Kenali Budaya Malaysia
5. Malaysia Negaraku
6. Sedia Hadapi Cabaran

Tema ini tidak semestinya diajar secara berturutan, guru boleh menyesuaikan tema ini dengan peristiwa atau isu semasa yang berlaku samada ada dalam sekolah, masyarakat atau peringkat negara. Misalnya tema Malaysia Negaraku boleh diajar dalam konteks sambutan Bulan Kemerdekaan agar murid dapat memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai warganegara Malaysia.

PENDAHULUAN

1. Mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diajar sebagai satu mata pelajaran
persekolahan mulai tahun 2005, di sekolah rendah dan menengah. Pada masa dahulu Pendidikan Sivik bertumpu pada struktur jenis kerajaan. Tetapi kini, mata pelajaran ini memberi tumpuan pada keadaan semasa masyarakat serta keperluan masa depannya.

2. Sivik merujuk kepada hubungan individu dengan masyarakat di sekelilingnya. Manakala kewarganegaraan merujuk kepada hubungan individu dengan negaranya. Guru membantu murid menguasai pengetahuan sivik, kemahiran sivik dan nilai sivik supaya menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

3. Berdasarkan keadaan semasa yang melanda golongan remaja, kurikulum mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan memberi tumpuan utama pada isu perpaduan, patriotisme dan pemahaman kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Melalui kurikulum ini diharap dapat melahirkan individu yang bersemangat patriotik, boleh bekerjasama dengan orang lain, mengapresiasi kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia, menyelesaikan konflik tanpa menggunakan keganasan, menyayangi alam sekitar dan menyumbang ke arah pembanguanan negara.

Saturday, March 3, 2012

Salam Perkenalan

Selamat datang ke blog saya. Semoga anda mendapat manfaat daripada blog ini.